KUALA LUMPUR: Ketua Badan SAR Nasional Indonesia (BASARNAS), Bambang Soelistyo menafikan desas desus yang mengatakan wujud ketidak sepakatan dalam gabungan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pesawat AirAsia QZ8501.
Kata Bambang kepada Detik.com, gabungan pelbagai pasukan dari beberapa negara tetap kukuh sehingga mendapat pujian antarabangsa.
“Siapa kata tidak sepakat? Yang saya tahu semua gembira. Saya tahu perkara ini kerana saya kawal semua. Misalnya, pasukan Amerika Syarikat yang menggunakan helikopter dapat menemui satu jasad mangsa. Mereka terus menghubungi koordinator dan kapal yang terdekat di kawasan tersebut.
“Jadi saya tidak faham apa yang dimaksudkan dengan tidak sepakat. Orang luar memuji kita. Buktinya hanya dalam tiga hari kita sudah mula jumpa jasad mangsa,” kata Bambang yang ditemui di pejabatnya di Jakarta Pusat pada Selasa.
Namun begitu, Bambang tidak menafikan ada beberapa kekangan yang dihadapi pasukan SAR dalam operasi mencari itu namun perkara tersebut dapat diatasi dalam masa singkat.
Operasi SAR yang dikendalikan BASARNAS mendapat bantuan beberapa buah negara termasuk Amerika dan Malaysia.
Sementara itu, sektor pencarian bagi operasi SAR mangsa nahas dan bangkai pesawat Air Asia Indonesia QZ8501 untuk hari ke 11 dikekalkan.
Demikian informasi yang diberikan oleh Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar hari ini menerusi laman sosial Twitternya.
Katanya, Kapal KD Kasturi akan ditugaskan di sektor 'kawasan berkemungkinan dan kapal KD Pahang kekal di sektor 1.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar